Cincin suasa cincin pusaka,
Disimpan rapi dalam peti;
Cintai negara sayangi bangsa,
kekalkan perpaduan tanpa sangsi.
Pantun empat kerat
ini membuka tirai syarahan saya pada pagi ini.
Salam
bahagia dan sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang
Berbahagia Tuan Pengetua, barisan hakim yang arif dan berdiri di atas paksi
keadilan, guru-guru dan tidak dilupakan hadirin sekalian yang saya
muliakan. “ SATU MALAYSIA
PEMANGKIN PERPADUAN “, demikianlah bunyinya tajuk syarahan yang akan saya
sampaikan pada pagi yang mulia ini.
Hadirin sekalian,
“Kalau kita dapat menyatukan masyarakat menjadi satu rakyat dengan
satu impian, kita akan jadikan Malaysia
sebuah negara lebih kuat, gagah perkasa dan Berjaya”. Begitulah kata Dato seri
najib tun razak selaku perdana menteri Malaysia
keenam negara kita yang faham akan secara realitinya masyarakat berbilang
keturunan dan agama di negara ini perlu bersatu bagi menjadikan Malaysia sebuah
negara yang kukuh.
Konsep 1Malaysia merupakan konsep yang berpaksikan bumi nyata dan realiti sebenar rakyat pelbagai kaum di negara ini. 1Malaysia diwujudkan dengan tujuan untuk menyediakan satu forum yang bebas dan terbuka bagi membincangkan tentang perkara yang benar-benar dekat di hati kita sebagai satu bangsa. Matlamat 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan.
Sebanyak lapan nilai yang tidak saling eksklusif telah
diperkenalkan dalam konsep satu Malaysia
ini. Budaya kecemerlangan, ketabahan,
rendah hati, penerimaan, kesetian, meritokrasi, pendidikan dan integriti,
kelapan-lapan nilai ini telah menjadi asas kepada satu Negara satu bangsa.
Para hadirin,
Kesetiaan adalah
penting kerana ia adalah asas kepada kepercayaan. Contohnya sebagai kawan, anda setia kepada
kawan anda tak kisah dari segi keturunan dan keagamaan, kerana kesetiaan
tersebut akan membina kepercayaan. Satu ikatan peribadi antara anda dengan
seorang yang lain. Dengan adanya kepercayaan antara kawan, maka wujudlah
keharmonian di antara jiran memandangkan jiran kita kawan kita. Semangat
kejiranan yang kukuh penyumbang kepada keamanan masyarakat. Tambahan pula, KESETIAAN KEPADA RAJA DAN
NEGARA begitulah bunyinya prinsip kedua rukun Negara kita. Semua rakyat
dituntut setia kepada raja dan negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua
negara yang menyimbolkan penyatuan rakyat.
Perbezaan yang agak ketara di antara toleransi dan penerimaan. Apabila kita menyebut toleransi, mungkin kita
tidak berapa suka akannnya, tetapi tetap menerimanya kerana kita tiada pilihan.
Tetapi jika kita bercakap dari segi penerimaan, ia memperlihatkan keadaan pemikiran
bahawa kita menerima sepenuhnya sesuatu secara positif. Penerimaan dari segi kita bersedia untuk menerima
sebarang perkara. Jika kita sanggup menerima sebarang perkara, kita mengambil
perkara tersebut dengan kerelaan, maka dengan kepastian kita akan dapat melihat
kepada semua perkara secara lebih positif.
Oleh hal yang sedemikian, dengan nilai penerimaan ini, kita sebagai
rakyat Malaysia patut
menerima konsep satu Malaysia
secara positif.
Pendidikan dan
pengetahuan adalah prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan
dan disepanjang sejarah kita telah melihat hanya empayar yang berteraskan akal
yang terus wujud, khususnya dalam konteks semasa. Sebuah empayar yang terbina
daripada kekuatan tentera tidak bertahan dan tidak mampu bertahan. Pendidikan yang disepadukan dengan nilai, kita akan memiliki sebuah
masyarakat yang bukan sahaja dapat menempatkan pendidikan dan pengetahuan di
mercu segala yang lain malah dapat menghayati erti perpaduan yang dikecapi
selama ini.
Saudara-saudari,
'Satu
Malaysia '
- bukanlah suatu 'nyanyian perang' (battle cry). Ia juga bukannya suatu
pernyataan slogan yang kosong. Kita mesti sama-sama menghayati kepentingan
'Satu Malaysia '
dalam keadaan dan perkaitannya dengan suasana sedia ada. Tidak ada satu bangsa hebat di dunia ini yang
mampu mencapai klimaks kehebatan dengan bangsanya yang berpecah-belah dan tidak
ampuh. Ini fakta sejarah yang tidak mungkin mampu dinafikan. Susur sahaja
kehebatan tamadun dunia apa sekalipun, ia bermula dengan 'cita-cita
kebernegaraan' yang dikongsi bersama.
Justeru,
generasi muda Malaysia
khususnya perlu membina 'fikrah Satu Malaysia ' yang sejujur-jujurnya.
Kita perlu banyak meninggalkan syak wasangka. Kita perlu meruntuhkan kefahaman
prejudis yang merosakkan. Kita perlu bersangka baik antara satu sama lain. Kita
perlu mempunyai yakin diri bahawa tempat dan langit terbaik yang kita miliki
ada di bumi bertuah Malaysia
ini. Semua rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka adalah
bangsa Malaysia
yang berfikir dan bertindak dalam satu nada dan satu matlamat. Ciri-ciri
demografi seperti negeri, daerah, kaum, agama dan budaya wajar dihindari bagi
menwujudkan satu bangsa Malaysia
yang berfikiran terbuka serta ingin memajukan negara secara bersama.
Perpaduan
yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi dengan
menganggap kita adalah rakyat Malaysia
dan bangsa Malaysia .
Keadaan ini akan dapat mewujudkan suasana negara yang aman, harmoni, selesa,
keselamatan yang terjamin dan memberi kemakmuran kepada negara. Rakyat
perlu memahami bahawa negara yang mempunyai kestabilan dan keselamatan yang
terjamin akan memberi perkembangan ekonomi yang pesat. Oleh itu rakyat akan
dapat menikmati limpahan daripada kerancakan ekonomi negara.
Para hadirin yang saya hormati,
Sebagai
rumusan, setelah 52 Merdeka, rakyat Malaysia yang terdiri daripada
pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam memerlukan satu misi bagi memajukan
negara secara bersama. Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh
YAB Perdana Menteri adalah langkah yang amat bertepatan dengan suasana untuk
menyatakan impian satu bangsa satu Negara.
Sekian
terima kasih.
Teks ini pernah digunakan dalam pertandingan pidato 2009 dan 2010 di.mana dapat merangkul johan dalam pertandingan pidato peringkat daerah oleh murid Lee Yu Qian
MINTA KEBENARAN UNTUK MENGGUNAKAN TEKS INI DALAM PERTANDINGAN SYARAHAN SEKOLAH
ReplyDelete